Sewaktu berada di pekan bernama Wanaka, gua gagal mendapatkan kerja juga. Tapi walau gagal mendapat kerja gua berjaya juga memancing 2 ekor ikan 'rainbow trout'. Ikan ni memang king kalu buat masak steam, 3 rasa dan sweet sour. Tapi tengah situasi genting macam tu, palem champion pun gua goreng saja. Itu pun sebab tak kasi ikan tu berbau untuk bekalan beberapa hari mendatang. Lepas lipat khemah lebih kurang, gua pun berkira kira untuk memandu ke pekan bernama Franz Josef. Lebih kurang 300 kilometer juga dari pekan bernama Wanaka ni. Memang luluh hati juga bila pekan ni tak sudi memberi gua kerja. Masuk hari tu lebih kurang 3 minggu juga gua mengamalkan cara hidup homeless. Kedudukan kewangan pun memang runcit bukan main dah.
Sebelum gerak gua pekena makan tengah hari ditepi tasik bernama tasik Hawea. Memang king punya cantik tasik ni. Airnya biru, angin sepoi sepoi pendidikan jasmani. Pekena nasi dengan ikan rainbow trout goreng pula, peh! menjadi lain macam sedap dia. Perut kenyang, gua pun mula ambil port nak lena sekejap. Nak memandu jauh kononnya. Padahal gua cenderung ke scene 'berbaring lepas makan' ha ha! Pang gua lena, lena tak lena mana masuk 2 jam juga. Terus kucar kacir gua bangun untuk meneruskan perjalanan ke Franz Josef. Kalu di Niu Zilen ni tak berapa nak solid kalu memandu malam. Sebab dia lebih cenderung melanggar arnab dan beberapa jenis binatang lain. Gua kemas barang, basuh muka lebih kurang, terus memecut kereta bukan sukan bernilai nzd150 gua tu.
***
Alhamdulillah, pungpang pungpang gua memandu sambil menyanyi dalam kereta tu. Gua pun sampai ke destinasi. Untuk pengetahuan semua, kereta tak sukan nzd150 tu tiada radio. Apa gila kereta nzd150 pun nak ada radio kan.. Kalu tingkap buleh naik pun kira dah bersyukur. ha ha! Bila sampai tempat macam ni, tempat utama gua tuju ialah, cari port yang buleh pacak khemah. Tidur dalam khemah ni memang sipi sipi perasaan tidur dalam hotel banyak bintang juga kadang kadang. Bila kita banding dengan tidur dalam kereta lah. Tidur dalam kereta ni celaka dia punya sakit belakang. Kerusi tak empuk langsung. Kaki pun bukan buleh lurus yang jenis lurus bila baring atas katil. Tapi kalu suhu malam tu 3 ke 4 darjah celcius. Itu belakang kira.
Seperti juga teknik gua sebelum sebelum ni. Walaupun gua menetap dalam khemah, tapi bila scene scene memasak ni, gua akan licik licik masuk ke backpackers hostel punya dapur. Dekat Franz Josef ni gua memang dah aim hostel YHA. memang king betei dapur dia. Barang pun buleh letak dengan selamat. Ada ruang tamu yang buleh tengok TV. Ada sesetengah kes gua lupa diri pergi tengok tv sampai gua ingat gua menetap dekat hostel tu.
Siang berlabuh sudah, gua dah sengih tanda stenbai untuk makan malam. Sedang gua geledah kereta cari bekas makanan gua, gua pun menjerit. "Celaka! macam mana buleh tertinggal stok makanan gua 3 hari tu dekat tepi tasik woiiii!!!!" Luluh hati gua itu jam tuhan sahaja yang tahu. Nak beli makanan dekat kedai memang dah malam kedai tutup. Kedai tutup tu bukan isu dia. Isu dia kewangan gua tu ada hanya untuk minyak kereta.
***
Lebih kurang 2 jam lepas itu gua sengih sambil silang kaki dan membaca akhbar tempatan diruang tamu hostel yang gua menyelinap tu. Perut kenyang jenis kenyang ular sawa. Jenis jenis kenyang membawa ke lupa diri. getus gua dalam hati "Berkenan betul aku duduk negara yang jenis ada "waste food bin". Saat saat macam ni memang "waste food bin" sangat king! Dapat makan spaghetti pula tu. Makan persis bangsawan pun ada. ha ha!"